KUALA LUMPUR, 1 Oktober 2015 - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mencadangkan penambahan kategori umur dalam Perlembagaan Persekutuan bagi menghalang berlakunya diskriminasi terhadap warga emas selaras dengan pertambahan golongan itu menjelang tahun 2050.
 
Pengerusi Suhakam Tan Sri Hasmy Agam berkata menurut statistik Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), menjelang 2050, bilangan warga emas dalam sesebuah negara akan menjadi dua kali ganda daripada bilangan kanak-kanak.
 
Di Malaysia, bilangan warga emas akan mencecah 15 peratus daripada jumlah penduduk menjelang tahun 2030, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
 
Menurut Hasmy, warga emas perlu dilayan sebagai aset penting dengan kepakaran dan pengalaman mereka boleh digunakan dalam memberi sumbangan kepada masyarakat, dan bukannya sebagai liabiliti atau menjadi beban kepada ekonomi negara.
 
Tarikh 1 Oktober 2015 merupakan ulang tahun ke-25 Hari Warga Emas Antarabangsa PBB dengan tema 'Kemampanan dan Keterangkuman Usia dalam Persekitaran Bandar' dipilih untuk sambutan tahun ini.

Dalam pada itu, Suhakam turut mencadangkan pelantikan Senator untuk mewakili dan melindungi kepentingan warga emas, termasuk perkara berkaitan diskriminasi umur, pendapatan, perumahan dan kesihatan.
 
Menurut Hasmy, Dasar Warga Emas Negara dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara yang telah diluluskan kerajaan pada 2011 untuk memperakui bahawa warga emas berhak menikmati kehidupan selesa dan dihormati, tidak dipromosi dan dilaksanakan dengan secukupnya.
 
"Ini terbukti apabila kurangnya kesedaran mengenai isu-isu berkaitan dengan usia terutama di kalangan kumpulan terpinggir seperti Orang Asli," katanya.
 
Sehubungan itu, Suhakam mengesyorkan supaya pelan berkenaan segera diperkukuh dan dilaksana di semua peringkat dan sektor masyarakat, serta memperkenalkan sebuah mekanisme pemantauan dan pelaporan pelaksanaan.  - Bernama